Tahukah anda kebanyakan mereka yang gagal dalam perniagaan adalah mereka yang hanya mempelajari bagaimana bergelar 'tauke' atau 'boss'? Anda mungkin selalu mendengar rakan atau kenalan bercerita hari ini yang dia sudah menjadi 'tauke'. Selepas beberapa ketika kita mendengar 'tauke' tersebut sudah menjadi taugeh. Seperti taugeh, hari ini ditanam, selepas dua ke tiga hari sudah dicantas. Begitulah juga ceritanya 'tauke' yang menjadi taugeh tadi. Tidak sempat mata berkelip, cerita hanya tinggal cerita.
Bagaimana ini berlaku? Ini sebenarnya bermula dengan masalah definisi dan persepsi. Kebanyakan orang mendefinisikan 'tauke' itu sebagai 'boss' atau tuan besar. Apabila sudah mampu memulakan satu perniagaan, maka mereka layak menjadi 'tauke'. Sememangnya gelaran 'tauke' itu sangat besar maknanya pada kredibiliti seseorang. Tetapi apa gunanya jika kesudahan 'tauke' itu akhirnya menjadi taugeh? Apa yang ada pada gelaran?
Tauke yang menjadi pelanggan
Perkara yang paling utama dalam perniagaan adalah jualan. Tiada jualan bermaksud tiada perniagaan. Oleh yang demikian ia adalah perkara yang paling utama dalam menentukan kejayaan sesebuah perniagaan.
Kegagalan utama peniaga ialah gagal membuat jualan yang baik. Mereka gagal membuat jualan kerana mereka gagal mengenalpasti 'bagaimana barang yang dijual itu akan dibeli'. Ini berlaku kerana gagalnya memikirkan bagaimana seorang pelanggan berfikir. Begitu juga apabila gagal menyedari bahawa pelanggan itu adalah nyawa perniagaan. Bukankah wang itu datang dari pelanggan?
Kebanyakan peniaga merungut dengan karenah pelanggan yang cerewet dan meminta yang bukan-bukan. Saya juga kadangkala bersetuju dengan mereka khususnya perihal pelanggan yang mahukan barangan atau perkhidmatan pada harga yang tidak masuk akal. Tapi itulah dia pelanggan.
Oleh itu perlulah seorang 'tauke' itu tahu menjiwai pelanggan. Menjiwai pelanggan akan membolehkan 'tauke' tahu apa yang hendak dijual dan bagaimana hendak menjual serta memperoleh keuntungan. Permintaan boleh wujud sungguhpun tiada penawaran tetapi penawaran tidak akan wujud tanpa ada permintaan. Disinilah kita perlu tahu kuasa permintaan lebih kuat daripada kuasa penawaran. Dan raja kepada permintaan itu adalah pelanggan. Oleh yang demikian, amat perlu bagi 'tauke' untuk tahu bagaimana 'Raja Permintaan' ini berfikir.
Tauke syok sendiri
Salah satu semangat yang ada pada tauke baru yang kurang pengalaman ialah semangat bersaing yang keterlaluan. Masih ramai yang suka hendak bersaing dengan cuba memberikan sesuatu yang terbaik tetapi keterlaluan. Antaranya memberi harga yang terlalu murah atau memberi perkhidmatan dan produk pada kualiti yang berlebihan.
Pelanggan mana yang tak akan akan menyukai perkara ini tetapi mereka tidak akan menyukai lagi apabila perkara tersebut telah tiada. Diwaktu ini, kebanyakan 'tauke' terkial-kial mencari jalan bagaimana hendak menaikkan kembali jumlah pelanggan yang merosot.
Semua orang faham adalah perkara biasa bagi 'tauke' memberikan kuantiti yang lebih dan harga yang murah sebagai strategi memperkenalkan diri. Walaubagaimanapun ianya harus terancang. 'Tauke' harus menarik balik sesuatu dengan mengekalkan sesuatu. Mereka harus memberi sebab mengapa pelanggan tidak perlu mencari yang lain dan masih berbaloi berurusniaga bersama mereka.
Pelanggan ada pilihan tetapi masih boleh membuat mereka tiada pilihan
Ini bukanlah strategi menipu atau menganiaya pelanggan. Ia adalah strategi mempastikan pelanggan sentiasa merasakan berbaloi berurusniaga bersama kita.
Urusniaga sangat banyak berkaitan dengan psikologi manusia. Manusia membeli kerana hatinya setuju membeli. Hati setuju membeli apabila tertarik atas tawaran. Tujuan memberikan sesuatu tawaran menarik adalah untuk menarik perhatian.
Menarik balik tawaran bererti pelanggan akan tidak tertarik. Jadi bagaimana hendak mempastikan mereka sentiasa tertarik untuk berurusniaga?
Disinilah perlunya konsep gantian. Tawaran menarik perlu sentiasa ada sebagai magnet. Gantian pula adalah senjata untuk mempastikan kos terkawal dan ada keuntungan dalam urusniaga. Hakikatnya memang perlu ada gantian kerana pelanggan mudah bosan dengan tawaran yang serupa dalam satu tempoh masa.
Strategi dalam gantian inilah yang harus diperhalusi. Pasaraya besar contohnya menjual ayam panggang pada harga seekor ayam mentah. Itu adalah lebih baik daripada dibiarkan ayam mentah tidak terjual dan tamat tempoh. Adalah lebih baik mendapat pulangan modal daripada rugi terbuang. Lebih rugi bila perlu menambah kos untuk melupuskan bahan buangan.
Hari ini anda memberi diskaun apabila orang membeli nasi goreng. Kemudian apabila harga nasi goreng kembali seperti biasa, anda boleh mengagak, pelanggan akan kurang membeli nasi goreng lagi. Tengok stok anda apakah bahan yang masih tidak terjual. Contohnya stok spaghetti. Jual barangan tersebut pada harga murah. Kemudian letakkan syarat, dengan membeli nasi goreng pada harga biasa, mereka boleh membeli spaghetti pada diskaun 50%. Itu adalah contoh.
Dengan cara ini, anda dapat menghabiskan stok lama dan pada masa yang sama anda sentiasa memberi tawaran menarik kepada pelanggan. Inilah strategi perniagaan yang memerlukan minda yang kreatif dan realistik.
Tiga rahsia memikat hati pelanggan
Tiga perkara ini adalah asas yang paling utama dalam mempastikan pelanggan terpikat dan terikat pada perniagaan kita. Perkara tersebut ialah
1. Pelanggan tidak mahu merasa rugi.
2. Pelanggan mahu terasa untung.
3. Pelanggan selesa pada keadaan yang selamat.
Tiga konsep ini digunakan sebagai sifir utama bagi kumpulan pemasar antarabangsa di seluruh dunia dalam merancang pelan pemasaran mereka. Mereka sentiasa akan mempastikan psikologi pelanggan akan memperoleh salah satu atau lebih daripada tiga asas diatas. Selamat mencuba.
Kesimpulan
Jadilah anda seorang 'tauke' taugeh daripada menjadi tauke macam taugeh. Perniagaan bukan semudah cerita seindah bicara. Perhalusi segala segi sekiranya anda mahukan 9 daripada 10 rezeki anda datang daripada perniagaan. Jikalau tidak perniagaan akan mengambil 9 daripada 10 rezeki anda yang sudah sedia ada. Apabila mahukan 9 daripada 10 rezeki, harus juga usaha anda 9 kali ganda sepertimana ganjarannya.
Satu pepatah arab berbunyi ' al-ilm kan nur fil hidayah' yang bermaksud ilmu itu adalah penyuluh dalam kegelapan. Tuntutlah ilmu perniagaan pada ertikata sebenar. Jangan mudah terpedaya dengan dakyah perniagaan mudah dan senang. Lebih susah satu perniagaan itu dijalankan, maka lebih mudah perjalanan perniagaan anda dimasa mendatang, kerana apabila lebih sedikit orang yang mampu melakukannya, maka lebih peluang untuk anda memonopoli bidang perniagaan itu dan lebih senang anda beruntung apabila perniagaan telah berakar umbi dan kukuh.
No comments:
Post a Comment